Sejarah kesusasteraan Cina bermula sekurang-kurangnya seawal kurun ke-14SM dan perkembangannya berterusan sepanjang lebih daripada 3,000 tahun. Perkembangan kesusasteraan Cina ini tidak pernah menerima gangguan atau sekatan. Sifat ini khasnya disebabkan bahasa pengantar bagi sastera Cina klasik iaitu bahasa Cina telah mengekalkan identitinya dari segi lisan dan tulisan "walaupun negara China pernah diperintah oleh puak asing seperti orang Mongol (dinasti Yuan, 1279-1368) dan orang Manchu (dinasti Qing, 1644-1911).
Tulisan Cina pada dasarnya bersifat grafik dan bukan fonetik (non-phonetic); dan sifat ini menjadikan bahasa Cina kurang sesuai untuk digunakan dalam usaha mentranskripsikan bahasa lain. Dengan ini ia tetap tidak berubah dan seterusnya meninggalkan beberapa kesan terhadap kesusasteraan Cina dan penyebarannya.
Sifat bahasa Cina yang bukan berabjad-fonetik (alphabetic-phonetic) bermakna huruf-hurufnya tidak menunjukkan bunyi sebutan. Bahasa Cina boleh disebut dalam kelainan cara dari segi fonologi mengikut tempat atau mengikut kesesuaian selaras dengan perubahan zaman-zaman dalam sejarah Cina. Namun begitu, maksud sesuatu huruf tetap sama tidak kira dalam dialek apapun ia disebutkan atau dipertuturkan. Maka itu kesusasteraan Cina dapat dinikmati dan dihayati oleh semua yang mengenali huruf Cina. Sesebuah karya klasik Konfusius misalnya, boleh dibaca dalam apa jua diaiek tanpa menjejaskan maksudnya. Sifat bahasa Cina ini mengekalkan kesinambungan budaya Cina dan membolehkan kesusasteraan Cina klasik terus menjadi aset budaya masyarakat Cina yang amat bemilai.
kepelbagaian Genre Sastera Cina Klasik terdapatlah:
1. Puisi
Antologi puisi Cina yang terawal bertajuk Shijing (Klasik Puisi). Antologi ini mengandungi 305 buah nyanyian kuil, nyanyian istana dan nyanyian rakyat yang wujud pada tempoh antara zaman Zhou Barat (kurun ke-11SMP-771SM) hingga zaman Musim Bunga Musim Luruh (770SM-476SM) dan dikumpul dari kawasan Lembah Huanghe. la dipercayai disusun pada lebih kurang masa Konfusius (551SM-479SM). Puisi-puisi dalam antologi ini penuh dengan pelbagai idea dan teknik kesusasteraan yang menjadi contoh dan memberi inspirasi kepada penyajak serta penulis generasi kemudian. Shijing bersama empat klasik lain iaitu
a. Yijing (Klasik Perubahan),
b. Shujing (Klasik Sejarah),
c. Liji (Rekod Ritual) dan
d. Chun qiu (Klasik Musim Bunga dan Musim Luruh), dikenali sebagai Wujing (Lima Klasik) yang sangat dihormati oleh sarjana- sarjana Cina. Puisi yang terkandung dalam Shijing pada asasnya dinyanyikan dengan iringan muzik. Sesetengah puisi, terutamanya puisi kuil juga diiringi oleh tarian.
Pada keseluiuhannya kebanyakan puisi dalam Shijing mementingkan elemen lirik lebih daripada elemen naratif. Rima akhir diutamakan untuk mencapai kesan muzik dan tidak bergantung kepada penggunaan kecantikan retorik. Puisi dalam Shijing mempunyai fungsi politik dan sosial selain daripada fungsi sastera. la digunakan dalam pertemuan rasmi; raja dan pegawai diplomatik menyanyikan puisi sebagai pembayang bagi sesuatu keadaan sebenar atau untuk menyatakan maksud sebenar.
2. Prosa
Prosa Cina seperti puisi purba, juga mempunyai fungsi sosial dan politik. Bagi seorang sarjana tradisional, khasnya sarjana Konfusian, sesebuah prosa yang berkualiti harus bermanfaat dari segi moral dan etika. Satu daripada tujuan penulisan prosa adalah untuk 'menyampaikan dao', atau menunjukkan jalan atau cara dari segi moral dan etika.
3. Drama
Drama Cina berkembang agak lewat. Pada dinasti Yuan (1279-1368), prestij tradisi lama mulai merosot di bawah pemerintahan Mongol, dan kawasan utara China, di mana penakluk asing mendirikan pusat pentadbiran mereka, menjadi satu persekitaran yang unik dengan aktiviti sastera yang bukan konvensional seperti drama berkembang. Drama Cina yang paling menarik ialah jenis zaju, sejenis bentuk sastera berbentuk puisi yang digubah mengikut suit muzik tertentu dan bersemarak pada zaman Yuan. Pelbagai tema dihasilkan dan terkandung dalam karya-karya drama.
Penulis-penulis yang menghasilkan karya dan menggunakan karya mereka sebagai saluran untuk mengeluarkan perasaan tidak puas hati atau sebagai alat kritikan. Dengan ini zaju bukan sahaja memberi hiburan tetapi juga berperanan sebagai pengkritik sosial yang berjaya mendapat konsensus dan simpati penonton. Zaju banyak menyokong nilai-nilai Cina tradisional khasnya nilai seperti zhong (kesetiaan), xiao (penghormatan terhadap ibu bapa), jie (kesucian seseorang wanita) dan yi (keadilan).
Secara keseluruhannya, drama Cina lebih berkecenderungan menekankan nilai-nilai etika berbanding agama. Drama bertujuan mendukung kelakuan baik dan memberi amaran atau berwaspada terhadap perbuatan-perbuatan jahat. Konsep tragedi seperti yang terdapat di Barat yang menegaskan bahawa manusia tidak berupaya memahami atau menguasai kuasa alam semesta tidak mendapat tempat dalam drama Cina. Sesebuah drama Cina yang tipikal akan berakhir dengan mesej yang mengatakan sesiapa yang berbuat baik akan mendapat ganjaran dan sebaliknya, yang jahat akan menerima hukuman.
4. Fiksyen
kedudukan fiksyen tidak setanding dengan puisi atau prosa yang selama ini disebabkan cerita-cerita yang ditulis adalah dalam bahasa vernakular maka golongan terpelajar tradisional yang memandang tinggi stall klasik secara rasmi tidak menganggap fiksyen bernilai untuk diberi taraf sastera.
Hasil karya berbentuk fiksyen begitu banyak dicipta dan kebanyakannya merupakan naratif yang panjang. Sebahagiannya adalah dalam bentuk roman sejarah. Tetapi beberapa fiksyen mempunyai nilai yang amat tinggi misalnya Honglou meng (Mimpi Loteng Merah), yang melukiskan kehidupan dan nasib sebuah keluarga besar pada zaman dinasti Qing. la merupakan sebuah novel dengan pencapaian sangat cemerlang kelihatan dari segi perwatakan dan pelukisan gambaran yang mendalam serta bermaklumat tentang kehidupan dan adat resam orang Cina. Selain daripada cara penyampaian, terdapat juga fiksyen yang temanya telah diilhamkan oleh catatan agama Buddha. Antara contoh terbaik ialah Xiyou ji, yang menceritakan dengan penuh imaginasi perjalanan seorang sami Cina ke India untuk mendapatkan kitab suci Buddha.